WALAUPUN Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar memperuntukkan kira-kira RM100 juta untuk menangani masalah banjir di seluruh negara, masalah ini tidak akan berakhir sekiranya minda masyarakat kita tidak pernah berubah.
Tabiat masyarakat yang langsung tidak prihatin terhadap masalah alam sekitar memburukkan lagi masalah banjir di negara ini. Segala sampah sarap dan sisa pepejal dibuang ke dalam longkang dan parit oleh penduduk, tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
Akibatnya, apabila hujan lebat berlaku, longkang terus tersumbat dan air melimpah ke kawasan sekitarnya. Ketika kejadian banjir yang merosakkan harta benda penduduk, kita saling menuding jari dan menyalahkan orang lain. Hakikatnya, kejadian itu berpunca daripada tangan kita sendiri kerana lebih gemar ‘menyakiti alam sekitar’.
Pemantapan sistem penyelenggaraan juga tidak mampu menangani masalah banjir di negara ini, jika pihak pemaju tidak melakukan kajian rapi sebelum memulakan projek pembangunan. Kebanyakan pemaju mengambil sikap lepas tangan dalam hal itu dan lebih gemar mengejar keuntungan. Mereka seolah-olah langsung tidak memikirkan masalah alam sekitar.
Pengubahsuaian terhadap struktur muka bumi seperti menimbus sistem saliran adalah penyumbang utama berlakunya banjir. Kerja pembinaan lebuh raya juga menjadi pendorong berlaku banjir dalam skala yang besar di kawasan yang sebelum ini bebas daripada banjir. Inilah ‘habuan’ yang terpaksa ditanggung penduduk setelah rumah mereka ditenggelami banjir.
Adakah kita sanggup melihat masalah ini terus berlaku sedangkan minda masyarakat dan pihak pemaju masih di takuk lama? Kita perlu sedar, alam sekitar hak bersama dan kesan akan tetap dirasai bersama.
Walaupun kita menganggap peruntukan kerajaan berjuta-juta ringgit mampu menangani masalah alam sekitar, ia sebenarnya tidak sama sekali. Kerja penyelenggaraan tidak cukup jika masyarakat terus cemarkan alam sekitar.
MURIZAH MUSTAFA,
Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.
BERITA HARIAN/ 8 OKTOBER 2009
No comments:
Post a Comment