Benar kata orang, kenangan silam mampu menitiskan air mata apabila ia kembali ke dalam jiwa. Hari raya ke lima yang lalu, aku bersama keluargaku berkelah di pantai ini. Bayangkan, selepas tiga belas tahun berlalu, inilah kali pertama keluarga kami pergi berkelah. Begitu kempunan rasa hatiku untuk berkelah bersama keluarga.
Namun, itulah hakikat yang terpaksa aku terima dengan hati terbuka demi sebuah keluarga. Tiga belas tahun lalu, di sinilah destinasi utama perkelahan keluarga kami bersama keluarga Pak Ngah Isa yang aku panggil Pak Ngah.
Setiap kali hari raya ketiga atau keempat, kami bersiap sesudah subuh dengan segala macam bekalan termasuk beras, periuk, belacan, kicap, ikan, garam, bawang, ketupat yang belum direbus dan segala macam makanan serta peralatan lain. Begitulah bersemangatnya kami untuk berkelah. Sebelum matahari keluar dari sebelah timur, kami sudah sampai di pantai ini yang terletak di Pantai Datai.
Inilah lokasi yang paling menarik dan tidak ramai yang datang ke sini.
Jadi, kami bebas berbuat apa saja. Kawasan ini dulunya sangat cantik. Kami panggil Pantai Kulat kerana di sini, terdapat dua buah kulat buatan. Kami dapat berteduh dari hujan dan panas.
Sebenarnya, di sebelah atas kawasan ini terdapat air Terjun Temurun yang airnya sangat sejuk dan jernih.
Kedatangan kami bagai dialu-alukan. Setiba di sini, kami meletakkan barang-barang dan ditugaskan mengambil air di sungai bersebelahan. Selepas itu, operasi menyalakan api turut dilakukan untuk merebus ketupat. Inilah istimewanya perkelahan kami, kami melakukan semuanya di sini.
Ketika air surut pagi, kami turun mengalih batu mencari siput mata lembu. Bagi ibuku dan Mak Ngahku, mereka lebih gemar menukul siput yang tergolong dalam spesies Tiram. Rasa? Oh, aku tidak berapa suka. Rasanya payau dan jika aku yang makan boleh terkeluar balik.
Selepas puas mencari siput dan air mulai pasang, kami naik ke pantai ini dan bersiap untuk kerja masak memasak. Masak apa? Oh, pastinya ketupat direbus tadi sudah masak dan dimakan panas-panas. Kerja memasak nasi kami dilakukan bersama-sama. Kerja menyiang, basuh dan bakar ikan juga kami bergotong royong. Lakukan bersama-sama juga.
Ketika matahari tegak di atas kepala, makanan siap terhidang. Kerabu bronok, kerabu udang, kerabu ikan, sambal tumbuk dan ikan bakar, semuanya membuka selera kami. Rasanya tidak terkira. Kami bebas sebebasnya untuk makan di mana-mana. Aku bersama-sama sepupu memilih lokasi jauh dari ibu bapa kami. Makan di pantai amatlah berbeza dari di rumah.
Sedapnya bertambah dengan gelak tawa kami sepupu sepapat yang membesar rapat-rapat. Dengusan angin kadang-kala menegak bulu roma turut menambah selera kami. Nyaman dan enak sekali.
Setelah selesai makan, kinilah tiba masa yang amat kami nantikan. Mandi laut. Kami hanya dibenarkan mandi selepas air laut benar-benar pasang. Jika tidak, kami diharamkan mandi. Menurut Pak Ngahku, amat bahaya mandi ketika air sedang pasang. Kami berisiko lemas. Kami semestinya patuh dengan syarat itu. Kami mandi sepuas-puasnya sambil diawasi oleh ibu bapa kami yang sambil itu berborak. Ada saja kisah yang ingin diluahkan.
Segala-galanya indah. Aku begitu beruntung kerana perkelahan itu meninggalkan banyak kenangan dalam hidupku. Kini, segala-galanya tinggal kenangan. Ketika aku kembali ke sini baru-baru ini, semuanya sudah berubah. Kawasan dua buah kulat ini hampir roboh, semak-samun dan ia kelihatan amat terbiar. Dan aku kini hanya mampu melihat dengan sebak di dada.
Perkelahan kami kali ini hanya bersama emak, dua orang adik dan abangku sahaja. Perkelahan kali ini tidak semeriah dulu. Segalanya sepi bagiku. Di tambah rasa sunyi yang mencengkam jiwa ini. Kini, arwah bapaku tiada lagi selepas terlantar sebelas tahun. Pak Ngahku pula, telah kembali ke Rahmatullah setahun selepas perkelahan terakhir kami. Dia pergi buat selama-lamanya pada hari raya Aidilfitri 1999 lalu. Tiada lagi bapaku, tiada lagi Pak Ngahku dan tiada lagi perkelahan yang amat indah bagiku.
Kenangan hanya tinggal kenangan. Hidup harus diteruskan. Jika aku mampu memutarkan waktu, perkara pertama yang ingin aku lakukan semestinya, PERKELAHAN SEPERTI DULU!!!!!!!!!
Sebaknya hatiku tatkala menatap destinasi perkelahan ini. Aku kehilangan dua insan yang sehingga hari ini tetap hidup dalam jiwaku walaupun jasad mereka tersemadi di liang abadi..Ya Allah, kirimkan aku ke sana jika tiba masanya....
No comments:
Post a Comment