Sunday, February 15, 2015

Rindu Yang Tak Akan Surut

Pulang mereka terlebih dahulu daripada saya. Cukup mengharukan saya. Saya simpan dua nama itu jauh di lubuk hati. Tatkala janji itu pasti, saya makin belajar erti kehilangan. Apa yang pasti, tiap-tiap yang bernyawa, pasti akan pulang menemuinya. 

Awal-awal lagi saya pesan pada hati, dalam hidup andai diuji, lapangkan hati. Ya, sedaya upaya saya cuba jadi insan yang kuat dalam ranjau yang tiada penghujungnya kecuali mati. Namun apakan daya, rindu ini tidak pernah surut walau sesaat.

Tatkala insan lain riang bersama si kecil, jauh di sanubari ini hati saya berteriak lagi. Andai mereka masih ada alangkah gembiranya saya. Siapalah selain merayu padaNya. Dia meminjamkan kepada saya cuma seketika Muhammad Taufiq dan Muhammad Syafiq!

Di hujung malam, air mata kerinduan ini pasti jatuh. Mampukah saya? Mampukah saya? Saya tanya berulang kali pada hati. Apa yang mampu saya buat? Saya pujuk hati. 'Ingatlah hati, Allah uji kita sebab dia sayangkan kita.' Rayu saya berulang kali.

'Ingatlah hati, bukan kita sahaja Allah uji hilangnya permata hati, sedangkan kekasihnya Muhammad Saw sedangkan lagi diuji, inikan kita manusia biasa. 

Tuesday, December 3, 2013

Rindu Semua.. :)

Assalamualaikum...Alhamdulillah...syukur padaMu atas segala nikmatNya. Puas cari password, akhirnya jumpa juga.hehehhe..almaklum sajalah, berkurun lamanya baru saya akan update blog yang bersarang ni. Untuk kawan-kawan seangkatan di UM dulu, sungguh saya tak lupa. Tambah-tambah yang pernah bersusah payah demi saya. Terima kasih. Untuk anak-anak murid tersayang, teruskan usaha. Belajar bersungguh-sungguh demi masa depan masing-masing. Kepada para guru, pensyarah yang dihormati, terima kasih atas segala ilmu yang dicurahkan. Terima kasih tak terhingga kepada keluarga tercinta, ayahanda Tuan Sheikh di Brunei, dan kepada yang yang sentiasa mendoakan diri ini saya doakan semuanya diberikan kebahagiaan di dunia hingga akhirat. Hari betul-betul terasa ingin berterima kasih pada semua. Dan untuk pengetahuan Mun, Insyaallah Zah akan on fb andai ada rezki terima orang baru.... :) InsyaAllah akhir Februari....

Tuesday, July 16, 2013

Alhamdulillah, syukur dengan apa yang Allah kurniakan pada saya. Sungguh saya amat terharu. Hari ini hari ke 8 kita berada di bulan Ramadhan yang mulia ini. Kita  masih lagi bernafas dan dapat berpuasa serta meningkatkan ibadah kepadaNya. Syukur padaMu ya Allah kerana kurniaan ini sungguh indah. Alhamdulillah kerana kau kurniakan pada hambamu ini dia untukku. Tahun ini saya berpuasa bersama suami dan keluarga mentua yang pastinya banyak perkara yang saya pelajari atas apa yang berlaku. Sungguh hikmah itu terlalu besar. Insyaallah, saya akan menanti insan baru pada tahun hadapan. Ya Allah, kurniakanlah kebahagiaan kepada keluargaku di dunia hingga akhirat. Amin.

Sunday, October 14, 2012

Percaya pada Dia

Jika ia pahit, percayalah itu adalah penawarnya
Jika ia manis, percayalah ada racun disebaliknya
Jika dicampur keduanya, si pahit akan jadi penawar pada si manis buat selamanya.....

Alhamdulillah, sehingga ke detik ini saya sudah mampu berjalan seperti tujuh tahun yang lalu. Tujuh tahun yang penuh dengan kenangan. Saban hari saya cuba lupakan kenangan-kenangan bersama-sama mereka. Mereka yang pernah membantu saya. Mereka yang melukakan hati saya. Dan mereka yang terluka disebabkan saya.
Biarlah ia berlalu dengan tenang asalkan jiwa saya redha. Jika diizinkan, saya tidak mahu lagi ada nama-nama itu dari hidup saya. Bukannya sengaja saya menghilangkan diri, jauh sekali membenci tapi percayalah saya mencari yang ada di depan mata saya.
Andai saya mampu putarkan waktu, saya tidak mahu kenangan itu. Saya tidak mahu mengenali mereka kerana saya tidak mahu hati saya terluka dan hati mereka turut terluka. Namun, Dia menentukan segalanya. Saya insan biasa yang akhirnya terpaksa menelan semua kenangan itu dalam secangkir kepayahan.
Dalam mentafsir kehidupan ini, mungkin ini yang termampu untuk saya. Saya membuka lembaran baru dan menghapuskan lembaran sebelumnya. Untuk ini mungkin saya harus bijak mengatur plot yang sesuai untuk jiwa saya. Saya perlukan secebis ketenangan. Sehelai kedamaian diri. Saya amat percaya pada Dia. Dia telah menghantar pada saya sesuatu itu dan saya ikhlas menerimanya. Moga ia kekal bersama saya.. :)


Tuesday, October 9, 2012

Lepaskan hati ini selamanya....

Sekadar renungan sebelum mata ini terpejam...

Di lapangan diri, saya berpesan pada hati. Andai satu masa takdir menemukan si dia dengan hati saya, belajarlah untuk terima segalanya. Belajar untuk terima suratan dalam kepastian. Harus selalu muhasabah tika dilanda musibah. Harus kembali ke dalam diri perbetulkan yang tidak pasti. Harus pasrah di saat jiwa memikul lara. Harus percaya pada suratan bukan kebetulan. Saya amat pasti, itulah realiti sepi. Datangnya bukan dipinta perginya bukan dipaksa. 
Merenung tabir semalam, banyak yang saya pelajari. Dan tak mungkin saya lupakan. Cukuplah dengan apa yang pernah saya lalui. Cukuplah dengan apa yang saya rasai. Segalanya pasti pergi jua, walaupun masih tertinggal parut lama.
Saya tidak pernah mencari si dia yang sempurna di mata insan. Tapi cukuplah sekadar ia dekat dengan penciptaNya. Cukuplah sekadar ia melengkap tiang agama. Cukuplah sekadar ia mampu memimpin jemari saya menuju ke syurga.  Saya akui, Allah tidak jadikan tiap-tiap insan itu sempurna. Namun, andai ada si dia yang mahu menghantar saya ke jurang sana, maafkan saya. Sungguh saya tidak berdaya.
Saya benar-benar berserah padaNya untuk segalanya. Andai saya tidak sempurna di matanya, belajarlah untuk terima saya seadanya. Andai si dia tidak mampu menjejak langkah saya, lepaskan hati saya selamanya.... :)

Monday, October 8, 2012

Aksara bicara

Di perbatasan waktu
langkahnya kian laju
mengejar aksara bicara
lidahnya bertambah kelu

Dia terus berlalu tanpa lagu
di hati bertambah lesu
adakah kesempatan sementara cuma
dia ampuh bersama

Dia renung tirai waktu
yang pergi usah berpaling lagi
usah sesali
usah tangisi
kerana bicara itu tak mungkin kembali

Di hening subuh dia berseloka
bicara yang baru jelma lebih indah alunannya
bicara  lalu biarkan saja
percayalah, bicara hari ini
membasuh luka lama
bakal tersergam lamanya

Sunday, October 7, 2012

Usah Lafazkan Nama Ini...

Laungan azan subuh dua saat yang lepas meresap sayup di tangkai hati. Betapa luasnya kebesaranMu Ya Allah. Masih kau beri peluang dan ruang kepada hambaMu untuk terus bertebar di bumi. Bertebar untuk mereka lalui segala macam nikmat bahagia dan pedihnya sengsara. Bagi yang berputus asa, lenyaplah nikmat syurga, namun bagi yang redha pasti syurga tempatnya. Bagi yang mengharapkan sesuatu yang tidak pasti, berhentilah daripada melafaz nama mereka-mereka yang engkau tinggalkan.
Hari ini perlu kau  lalui dengan hati yang pasrah. Tolong tinggalkan nama mereka di pangkal jalan dan kau laluilah jalan yang kau pilih selama ini. Jalan yang kau cukup yakin kau akan bahagia. Cari kebahagiaan mu sendiri dan lepaskan mereka yang kau tinggalkan sekian lamanya. Kau terlalu menjaga maruah cinta. Kau yang menelaah masa depan yang sia-sia. Dan kau yang terlalu memilih kebahagiaan sendiri. Demi maruah yang kau jaga sekian lamanya, kau rela hancurkan nama mereka yang separuh nyawa mencari sisa bicara.
Hari ini mereka cukup tabah dalam melalui jalan itu dan yakinlah engkau, nama-nama yang kau tinggalkan dulu sudah dimiliki. Cukuplah untuk kau ketahui, kini tiba masanya kau berhentilah daripada melafazkan nama yang kau tanam di dasar hati. Percayalah, mereka cukup redha menanti bahagia sedangkan kau hanya pandai menanam namun tidak akur dalam membajanya.... :)

Hati sang pencinta...

Hari ini cukup untuk saya  lapangkan hati. Walaupun agak sibuk dengan segala macam hal, saya masih sempat bersembang dengan mak, sambil cicah mempelam muda dengan sambal belacan, sempat berhujah dengan adik dan gelak menceritakan sesuatu yang benar-benar lucu bagi saya, adik dan mak :).. Itupun cukup bermakna kepada saya. Jika beberapa bulan yang lalu hidup saya sedikit haru-biru, dan hati benar-benar beronar, tapi hari ini segalanya telah berubah. Alhamdulillah, Dia masih dengar permintaan saya saban hari.
Sebentar tadi saya sempat bertanya khabar daripada seorang teman rapat saya semasa di Universiti, khabar darinya juga turut menghiburkan hati saya. Doa saya, semoga dia bahagia di dunia dan akhirat bersama bakal pendampingnya di saat susah mahupun senang. Beberapa bulan yang lalu di saat hati saya berdarah, dia tiupkan beberapa penawar yang cukup melegakan hati saya. Dia kuatkan saya dengan kata-kata yang masih terpahat di hati saya, "Allah akan berikan sesuatu yang indah lepas ni. Jangan sedih". Kalimat itu saya simpan rapat-rapat di hati saya dan akan saya ukir menjadi permata. Rupanya hidup ini amat indah jika ditanam benih kesabaran dan bajanya hanyalah keredhaan.
Jika kita redha, bermakna kita berlapang dada menerima ujian demi ujian. Masakan saya mampu bertahan segagah itu sedangkan saya dilahirkan dengan hati yang cukup rapuh bila dipatahkan dengan kata-kata. Saya mula goyah bila di tiup badai dari kelautan. Mujur di belakang saya ada pasak-pasak yang tidak pernah biarkan saya keseorangan. Merekalah pasak yang saya sayangi. Kerana mereka, saya masih tersenyum dan menadah tangan bersyukur.
Dan hari ini juga, saya seakan tidak percaya. Adakah semua ini mimpi dalam mimpi? Bila dengar suaranya jauh di hujung waktu, ketahuilah saya itu bukannya mimpi tapi  realiti "indah" yang diungkapkan oleh teman saya. Akhirnya saya temui jua apa yang saya mimpikan  saban tahun lamanya.....