Tuesday, October 13, 2009

Jasamu Ku Kenang Hingga Nafas Ini Terhenti

Bermula dari satu langkah yang amat memeritkan, aku teruskan juga walaupun hatiku pernah lebur dengan kata-kata yang amat pahit, bukan saja di lidah, malah di hati ini. Bak kata pepatah, yang pahit itulah ubat paling mujarab dan aku akui kebenarannya hari ini walaupun pada mulanya aku amalkannya sekadar penyedap rasa.

Dulu, aku nyaris terhumban ke lembah-lembah kekecewaan angkara lidah-lidah tidak bertulang. Paling menyedihkan, keluargaku pernah dihina, dicaci mungkin kerana keluarga kami tidak berharta sedangkan orang lain cukup bahagia dengan segala-galanya.

Melihat tahap kesabaran yang paling tinggi dalam diri ibu untuk menempuhi ranjau berduri itu, aku tiba-tiba menjadi seperti dirinya. Jika dia mampu berhadapan gelombang kehidupan ini, mengapa tidak aku?Aku cabarkan diri sendiri untukku menjadi lebih tabah dari ibuku. Sungguh, sehingga hari ini, aku sentiasa bertahan menadah setiap penghinaan dulu, kini dan selamanya.

Penghinaan itu amat besar buat keluarga dan diriku disaat usiaku belasan tahun. Penghinaan itu, jika aku paparkan kembali hari ini, ia akan tetap meruntun hati dan jua keluargaku. Malah, mungkin mengembalikan luka lama. Biarlah kusimpan buat pedoman generasiku akan datang.

Apakah salah kami sekeluarga sedangkan kami tidak pernah meminta sebutir beras dari tetangga. Itulah persoalan yang sering bertandang dalam benakku. Aku lemparkan segala kata-kata dusta itu demi sebuah kejayaan yang tidak pernah aku sangkakan. Perjalanan berbelas tahun yang lalu, benar-benar mengajarku erti kekelurgaan, pengorbanan dan kasih sayang.

Mujurlah dalam ranjau berliku lagi berduri ini, masih ada insan-insan yang sudi menyokongku dari belakang. Pengorbanan ibuku, aku sematkan di dadaku walau di mana saja aku berada. Tawa dan air mata, aku berkongsi bersamanya. Dia amatlah memahami diriku. Kata-katanya ibarat mutiara di tengah lautan yang mana kata-kata itu harusku simpan sebaik-baiknya di hati ini. Itulah ibuku. Wanita berhati waja lagi perkasa.

Dan buat semua guruku yang selama ini tidak pernah jemu menghulurkan tangkai-tangkai berbuah ilmu, amatlah aku hargai sehingga bercerai nyawa ini. Tanpa dorongan ibu dan guru-guru, mungkin langkahku sudah lama terhenti sebelum tiba di jambatan tertinggi ini.

Doa dari insan-insan tidak pernah jemu mendoakan kejayaanku, amatlah aku hargai. Doaku, semoga kalian dipanjangkan umur, dimurahkan rezki dan kita bersama-sama akan beroleh kejayaan dunia dan akhirat.

Dan pada insan-insan yang pernah melemparkan itu dan ini, ketahuilah wahai kalian, orang yang menghina seorang miskin itu lebih hina di sisi Allah Taala. Dan aku juga berterima kasih pada kalian kerana sudi membakar hati ini sehingga aku terbangun dari mimpi yang sepi lalu menongkah sebuah kejayaan kini. Dan doaku, semoga kalian dibukakan pintu hidayah dan kita bersama-sama memohon keampunan padaNya.

Aku masih berpegang pada kata-kata ibuku, bersabar-sabar dengan dugaan, insyaallah suatu hari nanti, kejayaan bakal menyusuri. Terima kasih ibuku, kaum keluargaku, dan guru-guruku kerana doa kalian termakbul buat diriku.

MURIZAH MUSTAFA
UNIVERSITI MALAYA
2009/2010


No comments:

Post a Comment