Tuesday, March 29, 2011

Guru dan anak-anak

Dua bulan yang lalu, mungkin bukan rezki saya untuk berkhidmat di Pulau Mutiara. Namun, saya tetap bersyukur dengan rahmat Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Alhamdulillah, walaupun bukan rezki saya di sana, saya tetap berpeluang untuk mencurahkan sedikit kudrat untuk anak-anak di Pulau Lagenda, iaitu pulau kelahiran saya. Di hati saya, inilah kuasa Allah kerana memberi kesempatan kepada saya untuk berada di mata emak saya setiap hari walaupun sesekali terpaksa mendengar "Forum" percuma dari Mak kalau ada salah silap saya. Itulah lumrah kehidupan, di sekolah saya adalah guru, tapi di rumah Mak adalah guru saya sejak saya dilahirkan. Dia tak pernah dan tak akan "pencen" sampai bila-bila dalam mendidik saya. Dialah guru pertama dan terakhir saya.

Sebenarnya, petang tadi saya telah ke Hospital Langkawi untuk menziarah saudara yang masih terlantar sakit setelah 23 hari berada di sana. Dalam hujan yang sangat lebat, saya dan mak hampir kuyup bermandi hujan semata-mata hendak ziarah orang. Mak saya bersungguh-sungguh hendak ke sana. Bulan mac sahaja, kalau tidak silap saya, lebih dari sepuluh kali saya dan emak ulang alik ke hospital. Tidak kira hujan atau panas, tetap akan pergi juga. Di sana, saya berjumpa dengan pesakit yang terlantar. Paling menyedihkan bila lihat ada anak-anak membiarkan emak mereka terlantar tanpa dijaga. Dengan muka sedih dan pedih, mereka mampu tersenyum pahit apabila ada anak cucu yang balik bila waktu melawat tamat. Saya pernah mendengar ada nenek yang merungut-rungut lapar kerana anak-anak mereka datang tanpa membawa makanan.

Saya sendiri terasa terkilan. Salah siapa sebenar? Salah anak itu atau salah ibu mengandung? Baru saya terfikir, kenapa emak saya sering "berforum" kepada anak-anaknya terutama kami lima beradik. Mungkin dia tidak mahu kami juga seperti anak-anak itu...

No comments:

Post a Comment