Monday, January 11, 2010

Sepi Tanpanya...(Pemergian Tanpa Bicara..)

Assalamualaikum…

2010,

Tahun yang amat bermakna dalam hidup ini.

Namun, ada sesuatu yang amat-amat saya rindukan…

Tahun ini, genap empat tahun pemergian insan yang amat-amat saya kasihi iaitu bapa tercinta. Mana mungkin dia lenyap di hati ini kerana kasih sayangnya sentiasa terpahat di hati saya. Beruntunglah saya menjadi anaknya walaupun dia tersemadi di sana.

Namun, kesedihan masih terbuku di hati ini kerana disaat nafas terakhirnya tercerai dari jasadnya, saya tiada di sisinya. Amat-amat memilukan. Berkaca mata ini tatkala sekujur tubuh kaku terpampang di depan mata. Tiada lagi gerak gerinya. Tiada lagi nasihatnya. Tiada lagi air matanya. Tiada lagi jasad yang mampu saya gosokkan untuk membersihkan dirinya. Semua hilang tanpa saya di sisinya.

Hari ini, kenangan hidup bersamanya tetap saya rasai. Makin rindu, dan rindu dan bertambah-tambah rindu apabila melihat teman-teman masih memiliki ayah. Saya sepi tanpanya di sisi. Meratapi pemergiannya bukan yang terbaik. Tapi pesannya, dia hanya menanti doa dari anak-anaknya, yakni saya jua. Sungguh, rindu terubat hanya dengan doa kepadanya.

Kenapa perasaan ini tiba-tiba kembali kepadanya, saya tidak tahu. Mungkin darah yang mengalir dalam jasad ini adalahlah ‘roh’ seorang bapa yang rindukan anaknya. Sebaknya rasa dada ini…terasa ingin saya curahkan selaut air mata ini deminya. Namun, semua itu sia-sia. Yang pergi tetap pergi. Saya akui, saya tidak setabahnya. Tapi insyaallah, dengan rohnya yang sentiasa bersama saya, saya akan terus tabah dan tabah.

Jika saya mampu memutarkan masa itu kembali, saya ingin bersamanya sehingga nafasnya di bawa pergi. Namun, demi segunung cita-citanya, saya tinggalkan dia terlantar di sisi keluarga. Masih terasa ciuman dan panas pelukan seorang bapa dalam diri saya. Pelukan terakhir. Sedikit cebisan untuk teman-teman, hargailah ayah sementara masih ada…sekali hilang, kita akan kehilangannya selama-lamanya… Kasih sayangnya penuh selautan, namun lautan akan kering tanpanya di sisi...

MURIZAH MUSTAFA

12/ 10/ 2010

UM.



2 comments:

  1. berdoalah agar beliau sejahtera di sana. huhu. jangan terlalu bersedih kerana ada insan lain yang lebih sedih...seperti saya yang hanya dapat merasa belaian dari seorang ibu selama 2 tahun. ah, membesar tanpa kasih sayang seorang ibu...memori yang menyedihkan. huhu.

    ReplyDelete
  2. ITU SAJA YANG MAMPU KITA BUAT. BERDOA, BERDOA DAN TERUS BERDOA..KITA HANYA AKAN TERASA KESEPIAN BILA DIA YANG KITA SAYANGI HILANG DI MATA NAMUN AMAT DEKAT DI HATI...ALHAMDULLILLAH, SAYA MASIH MEMILIKI SEORANG IBU YANG AMAT MEMAHAMI DIRI SAYA...SAYA JUGA MENDOAKAN EMAK AWAK, DITEMPATKAN DALAM KALANGAN INSAN-INSAN YANG BERIMAN...AMIN YA ALLAH.

    ReplyDelete