Tuesday, January 19, 2010

Cerpen: Aku, Mak, dan Fifi

Hujan renyai-renyai menyimbah halaman rumah. Aku hanya memerhatikan gelagat Fifi. Sejak beberapa hari ini, fikiranku runsing. Runsing memikirkan sikap Fifi. Ya, Fifi yang amat-amat aku keliru tentangnya. Entah apa perasaan yang menghasut aku begitu, aku keliru. Manjanya menjadi-jadi. Dan bertambah manja terutama dengan mak.

Fifi amat merimaskan hidupku! Aku menyampah dengan sikapnya. Aku hairan, kenapa Usu terlalu sayangkannya. Sedangkan aku?

Aku masih ingat lagi apa yang berlaku petang tadi.

Mak marahkan aku kerana membiarkan Fifi bermain hujan. Fifi ini pun satu, disebabkan dia, aku pula yang kena marah. Leteran mak amat menyentuh hatiku. Aku tahu perasaan mak. Tapi kenapa sebab Fifi yang bermain hujan, aku pula yang dileternya.

Aku tahu, mak juga sayangkan Fifi. Macam aku. Aku juga sayangkan Fifi. Tapi entahlah. Sayangku terpaksa, atau pura-pura, atau dengan rela. Aku keliru. Mak amanahkan aku jaga Fifi sebaik mungkin. Macam Usu jaga Fifi. Usu sayangkan Fifi sangat-sangat? Aku? Entahlah!

“Alang! Kenapa biar Fifi main hujan! Kalau Fifi demam siapa yang susah?” Hujan makin lebat. Dan Fifi yang aku panggil beberapa kali, buat endah tak endah saja. Aku mula geram. Lantak kau lah Fifi! Kau nak deman ke, kau nak mati ke, aku apa peduli? Jeritku di dalam hati.

Tiba-tiba aku tersedar. Ya Allah, apa yang aku cakapkan ni? Memang apabila aku geramkan Fifi, ayat itu yang selalu aku luahkan dalam hati. Kalau aku jerit keluar anak tekak sekalipun, bukannya Fifi faham! Dia buat tak tahu saja. Nanti tak pasal-pasal mak marahkan aku sebab maki hamun Fifi.

Mak keluar ke halaman rumah dengan payung merah di tangan kanannya. Mukanya berkerut-kerut. Semakin lama aku perhatikan, muka mak semakin serius. Macam guru besar yang marahkan pelajar di perhimpunan.

Mungkin tahap kebimbangannya pada Fifi kian tinggi. Setinggi menara KLCC. Atau mak marahkan aku sebenarnya, kerana biarkan Fifi terus bermain di tengah laman. Ini semua gara-gara sayangkan Fifinya.

Fifi, Fifi Fifi! Fifi basah kuyup. Mak bawa Fifi masuk dan terus ke bilik air. Bersihkan Fifi. Aku hanya perhatikan tanpa sepatah kata. Hujan di luar rumah kian lebat.

Nampak gayanya, Mak benar-benar risaukan Fifi. Minggu lepas, aku kurang sihat. Tapi mak macam tidak pedulikan aku. Mungkin mak lebih sayangkan Fifi agaknya. Aku berkecil hati. Tapi aku pendam. Ah, biarlah! Esok, mak suruh saja Fifi masakkan nasi untuk mak. Jangan suruh alang! Aku merajuk dalam diam.

Malam itu, ketika aku sedang menonton drama di TV3, Fifi bertenggek di sebelahku. Matanya kuyu. Aku rasa badannya. Panas. Mungkin akibat dia main hujan petang tadi. Masin betul mulut mak! Dia bersin tak berhenti-henti. Aku buat tidak peduli pada Fifi apabila emak keluar dari dapur. Mak terus mendapatkan Fifi di sebelahku. Aku membatu diri. Mak angkat Fifi dan duduk di hujung sofa. Mak bersandar lesu sambil membelai-belai Fifi. Aku hanya perhatikan dengan ekor mata.

Aku cemburu dalam diam. Mak, Alang ini anak mak tau? Mak, masa alang demam minggu lepas, mak tak gosokpun badan Alang, macam mak gosokkan badan Fifi. Mak cuma bagi Alang ubat yang mak beli di farmasi.

Alang rasa macam alang bukan anak mak pulak. Hatiku merintih sendiri. Mungkin mak tak tahu. Alang ni jahat sangat ke mak? Alang bukan anak mak ke? Aku sedih dan menangis dalam hati. Mak macam biasa, tetap peluk Fifi. Aku tidak pedulikan mak dan Fifi.

“Alang, esok ayah balik, kita bawa Fifi ke klinik. Fifi demam panas.” Beritahu mak. Aku diam. Mataku tertumpu di skrin televisyen.

Drama itu lebih menarik dari cerita sakit Fifi. Ah, lantak kaulah Fifi! Hipokrikah aku? Entahlah. Rancangan di skrin televisyen langsung tidak masuk ke dalam mindaku.

“Alang. Alang dengar tak apa yang mak cakapkan ni?” ulang mak dengan suara terkulum di hatinya.

“Ya, alang dengarlah,” jawabku endah tak endah. Mak terdiam. Mungkin mak terasa hati dengan sikapku. Fifi masih di riba mak. Manjanya membuatkan aku tiba-tiba sakit hati dengan Fifi. Kalau dulu aku juga sayangkan Fifi, tapi sekarang, entahlah. Hatiku kian menyampah melihat Fifi. Mungkin emak terlalu manjakan dirinya. Atau aku yang cemburu? Ya aku tak nafi. Memang aku cemburukan Fifi. Kerana dia, mak sudah tak pedulikan aku.

“Alang marahkan, mak?” tanya perlahan. Suara mak sebak. Aku pula rasa bersalah. Aku cuba maniskan muka apabila persoalan itu ditujukan khas kepadaku. Tiada siapa lagi, melainkan aku saja. Mana Along? Mana Usu? Aku bertambah sebak.

“Mak, tak ada sebab alang nak marahkan, mak. Ayah sampai pukul berapa esok?” Aku cuba menyedapkan hati mak. Aku ini anak mak. Mungkin emak telah dapat mentafsir isi hatiku. Kalau tidak, masakan mak akan ajukan padaku soalan itu.

“Betul alang tak marahkan, mak?” Mak ulang soalan yang sama. Aku tahu, apa isi hati mak sekarang.

“Tak adalah. Mak jangan risau.” Aku bimbang juga kalau-kalau mak terasa hati dengan sikapku. Pesanan ustazah Halimah aku pahatkan di hati, walaupan kadang-kadang pesanan itu tertanggal juga. Mungkin aku tak pahatkan sungguh-sungguh di hati.

“Ingat, sesiapa yang mengguriskan hati ibunya, dia tidak akan merasai nikmat syurga. Nerakalah balasannya.” Aku kecut perut apabila teringat pesan Ustazah Halimah lapan tahun yang lalu. Mata mak kurenung sayu. Ada sesuatu yang tersembunyi di tirai mata dan hatinya.

“Mak.” aku panggil nama mak di hujung anak tekakku. Perlahan. Mak masih mengusap kepala Fifi. Kepalanya tertunduk. Matanya singgah di hujung kepala Fifi.

“Mak, alang minta maaf.” Ujarku dengan rasa bersalah. Kini. aku berada di sebelah mak. Mak terdiam. Aku bertimpa-timpa serba salah.

“Macam mana dengan keputusan percubaan, alang?” tiba-tiba mak tanyakan aku perkara lain. Ah, sungguh mak terasa hati.

“Alhamdulillah, mak.” Aku sentuh jemari mak. Aku terkejut. Tangan mak sejuk. Apabila aku perhatikan jemarinya, jantungku berdegup kencang. Tangan mak pucat.

“Mak sakit?” Aku tenung anak mata mak. Mak hanya tersenyum. Senyuman penuh rahsia.

“Alang, mana ada mak sakit. Kalau mak sakit, dah lama mak terlantar di sebelah alang.” Ujar mak tersenyum pahit.

“Mak, maafkan alang. Alang selalu buat mak susah hati, kan?” Aku benar-benar kesal. Mungkin mak terlalu tertekan dengan sikapku. Fifi di atas ribanya sudah lama terlelap.

“Ya, mak maafkan. Mak nak bawa Fifi masuk tidur. Alang jangan tidur lambat. Esok bangun awal ke sekolah. Mak doakan alang berjaya dalam SPM nanti.” Pesan mak dengan senyuman manis. Jemarinya mengusap lembut rambut ikalku. Hatiku tersentuh. Matanya aku perhatikan. Berseri. Bibirnya berseri. Hidungnya berseri. Aku anggukkan kepala. Mak berlalu bersama-sama fifi.

Aku terbaring di atas sofa. Aku matikan televisyen. Bayangan Fifi dan mak bersilih ganti di mindaku. Aku tak salahkan mak kerana terlalu sayangkan Fifi. Aku tahu, sayang mak padaku tak terbelah bagi. Aku sedar semua itu.

Peristiwa setahun yang lalu tak mungkin aku lupa.

“Ya Allah, Usu, Alang, anak mak!” Kata-kata itu meluncur laju dari bibir sebelum tubuh itu terbujur di sebelahku. Mak terlalu tertekan. Kehilangan dua insan yang amat kami mak sayang menyebabkan mak selau bersedih. Begitu juga dengan diriku. Aku dapat rasai sendiri perasaan sedih itu.

Masih terbayang, dua kujur tubuh terbaring kaku di tepi simpang. Aku sendiri bagaikan tidak percaya. Namun, itulah hakikat dugaan dari-Nya.

Along dan Usu, terbujur kaku dalam sekelip mata selepas motosikal Honda ayah bertembung dengan sebuah lori sayur. Sejak dari itu, rumahku sunyi. Yang tinggal, aku, mak, ayah dan Fifi.

Fifi terlalu dekat di hati mak. Usu amat sayangkan Fifi. Ke mana sahaja ada Usu, di situ ada Fifi. Kalau Usu ke taman, Fifi juga ada di taman. Kalau Usu baca buku. Fifi akan duduk di sebelahnya. Kalau Usu ke surau, Fifi akan ekori Usu dari belakang. Fifi akan tunggu Usu hingga usai solat isyak. Kemudian, sama-sama beriringan pulang.

Riuh rendah suara Usu bergurau senda dengan Fifi. Namun, sejak Usu tak ada, Fifi jadi sunyi. Hanya mak peneman Fifi. Mak terlalu manjakan Fifi. Mak Belai Fifi. Mak Peluk Fifi. Mak mandikan Fifi. Mungkin bagi mak, fifi segala-galanya. Aku? Aku sedih. Wajah Usu dan along sering bermain di mindaku.

Malam ini, rumahku sunyi. Dan bertambah sunyi jika ayah tiada di rumah. Dia terlalu sibuk dengan perniagaannya. Mataku semakin berat.

Aku hanya tersedar ketika Fifi mengigit lengan baju tidurku. Aku mula geram apabila Fifi mula mencakar-cakar tanganku. Pedih. Aku menolak Fifi sekuat hati. Fifi terperosok di bawah meja kopi.

“Fifi! Apa ni?” Dia merenung anak mataku. Fifi tunduk. Aku terlau geram denganya. Namun, Fifi bangun semula dan duduk di sebelahku. Dia menggigit hujung lengan bajuku. Aku hairan.

“Kenapa Fifi?” Fifi terus menarik bajuku. Aku bangun.

Aku mengekorinya dari belakang. Fifi menuju ke bilik mak. Pintu itu terbuka. Ah, mungkin mak lupa menutup pintu biliknya. Celah pintu itu hanya muat untuk Fifi keluar masuk. Fifi masuk terlebih dahulu. Aku menolak daun pintu. Fifi naik di atas katil mak. Mak masih tidur.

“Fifi, jangan ganggu mak tidur. Subuh tak masuk lagilah. Jom keluar.” Ujarku pada Fifi. Fifi masih merenung mak. Lampu tidur di sebelah katil mak masih terbuka. Aku menghampiri lampu itu. Aku cuba mengambil Fifi di sebelah mak. Tiba-tiba Fifi terbaring di sebelah mak. Matanya berair. Aku terkejut. Aku rasakan, ada sesuatu yang tidak kena.

Mak masih nyenyak di ulik mimpi. Aku cuba mengangkat Fifi di sebelah mak. Namun, hujung jariku tersentuh tangan mak. Sejuk. Aku mengigil. Tak mungkin! Jerit hatiku. Aku kejutkan mak. Tubuh mak kaku.

“Ya Allah. Mak! Jangan tinggalkan alang!” air mataku tidak dapat aku tahankan lagi. Fifi yang di sebelah mak juga menangis sepertiku. Aku peluk mak. Aku peluk Fifi. Aku menangis di sisi mak dan Fifi. Mak, maafkan alang mak. Alang sayangkan mak. hanya itu yang mampu aku luahkan. Namun, tak mungkin mak akan dengar semua itu.

Fifi menjilat tanganku. Aku sayu. Maafkan kak lang, Fifi. Rintihku sendiri. Hari ini, barulah aku tahu, kenapa Fifi terlalu manja dengan mak. Kasih sayang mak memang padaku. Namun, dia juga sayangkan Fifi. Mungkin Fifi dapat merasai mak akan tinggalkan kami. Fifi menjilat ekornya bersama-sama air mata. Aku tahan sebak.

By, MURIZAH MUSTAFA

20 JANUARI 2010

3 comments:

  1. Salam ziarah,
    terus berkarya.
    terus kayakan ilmu penulisan.
    semoga sukses.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih,
    Salam ziarah juga untuk en Zainal,
    Insya-Allah, dunia Ilmu ini akan saya terokai
    jika diizinkan Allah...

    ReplyDelete
  3. Smart..ingatkn fifi tu org..hha!good karya..sedeynye..

    ReplyDelete