Monday, October 5, 2009

Indonesia perlu fahami budaya serumpun

KETIKA angka korban akibat gempa bumi di Padang, Sumatera mencecah angka lebih 1,000 orang dan memusnahkan harta benda, Kerajaan Malaysia sudah bersiap sedia dengan segala macam bentuk bantuan untuk dihantar ke negara itu.

Inikah negara yang ingin 'diganyang' oleh rakyat Indonesia sedangkan Malaysia amat bersimpati dengan musibah yang menimpa masyarakat di negara itu? Tidak kira pihak kerajaan mahupun swasta, bantuan tetap dihulurkan kepada mangsa bencana itu atas sikap perikemanusiaan yang tidak berbelah bahagi rakyat negara ini.

Namun, apa yang menyedihkan, ketika ribuan mangsa gempa bumi meratapi pemergian insan yang disayangi, Indonesia mengisytihar kemenangan berkaitan isu pertikaian batik dalam kemelut perebutan warisan kebudayaan itu dengan negara kita.

Presiden Indonesia sendiri menggesa 234 juta rakyatnya memakai batik bagi meraikan kemenangan itu selepas Pertubuhan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (Unesco) mengiktiraf batik kekal hak warisan negara itu.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengarahkan seluruh penduduk Indonesia meraikannya pada hari Jumaat lalu, ketika isu batik diisytiharkan secara rasmi dengan mengenakan baju, pakaian dan blaus yang dibuat daripada batik.

Apakah yang lebih penting sebenarnya, isu batik atau kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda? Penderitaan yang dirasai mangsa bencana seolah-olah tidak dihiraukan ketika rumah mereka menjadi padang jarak padang terkukur selepas gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter berlaku petang rabu lalu.

Malah, mereka seperti lebih mementingkan budaya dan warisan berbanding kebajikan rakyatnya yang sehingga hari ini masih mengharapkan bantuan dan mencari rezeki di bumi asing, termasuk Malaysia.

Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Sehingga kini, media Indonesia dan pihak yang berkepentingan sedang meraikan kemenangan di atas pengiktirafan itu tanpa memikirkan mangsa bencana alam yang meningkat.

Tentu kita masih ingat peristiwa yang berlaku baru-baru ini apabila media Indonesia sering kali membesarkan isu remeh-temeh seperti tarian Pendet yang boleh mencetus huru-hara antara kedua-dua negara sedangkan negara ini amat menjaga hubungan dua hala itu.

Adakah disebabkan isu tarian Pendet, lagu Rasa Sayang, isu batik dan hal remeh-temeh, kita harus bermandi darah? Sanggupkah kita meruntuhkan hubungan kedua-dua negara yang selama ini saling membantu antara satu sama lain hancur begitu saja?

Itulah persoalan yang bermain di benak masyarakat di negara ini. Kita tetap bersimpati dan sedia menghulurkan bantuan kepada mereka asalkan kedua-dua negara saling menghormati dan tidak menimbulkan perpecahan di kedua-dua negara.

Oleh kerana tidak sanggup melihat penderitaan mangsa gempa bumi atau bencana alam yang sering berlaku di negara jiran, Malaysia terus menghulurkan bantuan tidak kira berbentuk kewangan, pakaian, makanan, sehinggakan kebakaran hutan yang berlaku di Kalimantan sekalipun, negara kita terpaksa menghantar pasukan untuk memadamkan api itu.

Tidak cukup lagi ke bantuan yang dihulurkan oleh negara kita kepada rakyat Indonesia pada saat mereka ditimpa malapetaka yang maha dahsyat. Malaysia tidak pernah menyimpan dendam terhadap negara itu, walaupun ada pepatah menyebut, diberi madu, dibalasnya tuba. Bersama-samalah kita menghayati apa itu budaya serumpun dan erti tolong menolong.

MURIZAH MUSTAFA,
Siswi Universiti Malaya.

http://www.bharian.com.my
Isnin, 05 Oktober 2009

No comments:

Post a Comment