Saturday, September 29, 2012

Muhasabah Sejenak

Dalam satu hari, saya terserempak dengan 3 perkara yang membuatkan hati saya benar-benar tersentuh. Cukup untuk membuatkan saya saya tanya pada diri saya, bersyukurkah saya selama ini. Redhakah hati saya menerima ujian Allah, yakni Allah yang Maha Esa sepanjang hidup saya? Atau relakah saya jika saya di tempat mereka? Saya jadi sebak tiba-tiba. Baru saya tahu, ujian yang saya lalui secebis cuma berbanding mereka yang jauh lebih merasai kekurangan itu. Sedangkan untuk saya sekadar banyangan dugaan. Perjalanan saya ke Pekan Kuah dengan emak, di sisi sebelah kanan saya, seorang lelaki menunggang motosikal 3 roda. Jemari tangan kanannya bengkok. Saya amat yakin, dia OKU. Saya lihat jemari saya, cukup sempurna. Ya Allah, besarnya anugerahMu pada diri saya. Namun adakah saya sudah bersyukur padaMu...
Tiba di sebuah stor borong, seorang gadis sebaya saya melayan saya membeli kain batik. Saya tahu, dia seorang gadis sengau tetapi berhati tulus dan amanah dalam pekerjaannya. Dia sedaya upaya cuba menerangkan pada saya harga yang boleh ditawarkan walaupun saya kurang faham. Di saat saya lihat wajahnya, saya tanya pada hati saya, jika saya ditempatnya, malukah saya berhadapan dengan orang lain. Sedangkan suara saya yang garang sekarang inipun kadang-kadang buatkan saya rasa rendah diri. Bersyukurkah saya dengan apa yang Allah kurniakan pada saya. Berulang kali saya persoal pada hati. Bersyukurkah saya? Saya tahu, tiada siapapun yang meminta semua itu darinya.
Dan dalam perjalanan pulang, saya terpandang seorang wanita sebaya emak saya berjalan di hadapan stesen minyak. Tingginya hanya paras pinggang saya sahaja. Sekali lagi hati saya terusik. Saya lihat diri saya, bersyukurkah saya dengan apa yang diberikan olehNya. Walaupun saya pernah di hina kononnya saya tidak sempurna tapi hari ini, cukup untuk saya insafi diri. Setiap manusia diciptakan dengan kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Sebagai manusia yang dikurniakan otak yang berakal, layakkah kita pertikaikan semua itu sedangkan kita bukanlah insan yang sempurna.
Hari ini 30/09/2012 jam 3.00 pagi cukuplah untuk saya tutup mukasurat terakhir dan yang pasti esok akan ada sinar di ufuk timur bakal bermula angan-angan, harapan dan impian.Saya terlalu berharap dariNya, impian itu akan terukir selaut kenyataan....

No comments:

Post a Comment